Monday 14 November 2016

Bulan Menangis Lagi...

bila aku tengok balik semua gambar lama dalam Facebook, ternyata aku amat merindui saat belajar di kolej dulu.

kenapa? sebab dalam susah payah bergelut dengan masa dan tugasan, aku masih ada masa untuk digunakan bersama kawan-kawan. tambah dalam dua tiga hari ini agak muram. mungkin sebab bulan penuh? mungkin. atau aku dah semakin tua, semakin menganjak usia. sebab satu hari diluang masa berada di rumah tanpa keluar. mungkin.

bukan sedih atau pilu tapi terkadang rasa diri sunyi sepi bila mana balik ke rumah. di saat rakan sekerja lain yang penat dan letih seharian bekerja, kembali ke rumah boleh meluahkan rasa penat dan berbicara, aku kembali ke rumah bertemu sahabat sejati, tilam empuk yang akan aku baring sehingga esok. tidak kira hari apa. cuti atau kerja, semuanya sama..

aku semakin menganjak usia. 26 pada November dan 27 pada Januari tahun hadapan. sekelip mata masa berlalu dengan senyap. setiap saat aku rugi bila ia dihabiskan, dibazirkan tanpa ada manfaat. masa diberi Allah aku habisi dengan sia-sia. ditambah dosa dan pahala yang sudah tentu pemberatnya beralih ke kiri. kerna diri ini sentiasa leka. alpa.

satu persatu gambar aku lihat dari aku muda hingga sekarang. keluarga semakin bertambah dan ibu bapa semakin meningkat usia. adik-beradik semakin matang berbicara. rindu usah dikata bukan kepalang. hanya mesej di telefon dan komen di Facebook peneman, hilai ketawa pengubat lara. aku bekerja. mereka masih belajar. kita semua masih belajar. untuk mengenal dan memikul tanggungjawab dunia dan akhirah.

hanya blog yang setia menjadi penyinar tatkala aku senyap. diam dan berfikir panjang mengenai berbagai perkara. dunia dan akhirah. dosa dan pahala. diri ini sentiasa bergelut seharian. bukan istiqamah dalam amalan dan bukan juga penentang kepada munkar. tiap kali bertukar. kadang baik kadang jahat. sebati dalam diri dan cuba masing masing untuk berada di dalam diri. nafsu dan iman naik turun. hanya diri memahami.

usah bicara soal hati kerana diri belum yakin pasti lagi. biar masa dan pengalaman mengajar diri. biar menderita sekarang memahami ketentuan Ilahi. agar perlahan mula kenal diri dan erti kehidupan ini. soal hati itu ketentuanNya. mati juga di tanganNya. cinta itu abstrak, sebelah pihak, tidak mengerti, halusinasi mata akan kecantikan harfiah dari kelembutan iman. sama sekali tidak sama.

andai aku muram bukan kerna salahmu. bukan jua dosamu. tetapi dosaku. dalam menghargai nikmat Allah aku sendiri kadang hanyut. aibku tersemat kunci di dalam diri. masa lampau hitam penuh bintik dosa. mulut dan badan sentiasa berdusta. doakan sentiasa dalam tiap lembaran baru. agar detik hati itu untuk terus mencari Yang Satu. setiap lembaran baru. setiap ungkapan baru.

10, 100 malah 1000 pun belum tentu mampu aku huraikan. yang pasti ini satu ilham dari hati dan minda. dari apa aku alami pada detik ini. waktu malam disinari bulan penuh menyinar. terang lagi cerah, membawa berjuta makna. berjuta peristiwa yang berlaku sehingga ke hari ini. menjadi satu sejarah hidup tentang diri yang sedih ini. ketika ini. muram dan pedih.

agar menjadi satu lagi memori selain dari gambar dan kata-kata manis. nostalgia anak muda watan berdarah Melayu, beragama yang satu. moga jadi iktibar tika mana bergelut lagi.

Allah masih di sisi.

No comments:

Post a Comment

Movie Review : Animal

Assalamualaikum. Memandangkan ada setengah jam lagi sebelum aku balik, jadi aku nak review sikit filem yang aku dah tengok dalam dua tiga ha...